Index» » » » » » » » » » » Gaya Gerai Buah … Rupanya Kedai Jual Ubat Rangsang Seks!

Gaya Gerai Buah … Rupanya Kedai Jual Ubat Rangsang Seks!

Senin, 24 Februari 2014


Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KUALA LUMPUR — Pelbagai jenis ubat rangsangan seks tidak
berdaftar dan dipercayai mengandungi bahan racun bernilai lebih RM100,000
dirampas dari sebuah gerai buah dalam operasi penguatkuasaan di Lorong Haji Taib
di sini awal hari ini.

Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur (JKWPKL) Adnan Salimin berkata dalam ‘Ops Haji Taib’ itu, seorang
pengusaha gerai buah berusia lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya peniaga buah itu dipercayai menjadi pembekal ubat-ubatan berkenaan
secara kecil-kecilan kepada pelanggan dan kedai pemborong haram di sekitar kaki
lima Lorong Haji Taib.

“Mereka akan pergi ke gerai tersebut untuk membeli dan menjual kepada
pelanggan tertentu, selain menggunakan gerai itu sebagai perantara untuk
membekalkan ubat (dengan berselindung di sebalik gerai buah untuk mengelak)
daripada dikesan pihak berkuasa.

“Target mereka ialah pelanggan tempatan dan asing terutama yang memerlukan
khidmat seks di kawasan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Adnan berkata pendapatan bersih mereka boleh mencecah RM500 sehari kerana
sebiji tablet ubat dijual sekitar RM10.

Beliau berkata produk yang dirampas itu termasuk bahan yang diimport
antaranya dari China.

“Sebanyak 90 jenis ubat perangsang seks yang terkandung racun dirampas di
dalam gerai dan stor simpanan ialah sildenafil, tadafil dan analog sildenafil.

“Kesan sampingan kepada mereka yang mengambil ubat-ubatan jenis ini akan
mengalami tekanan darah rendah, kehilangan pendengaran, priapism (penis menegang
tanpa turun) selama empat jam dan mengalami kesukaran untuk membuang air kecil,”
katanya sambil menambah JKWPKL melakukan risikan selama sebulan untuk mengenal
pasti bilangan dan modus operandi mereka.

Katanya kebanyakan produk yang dijual dan dibekal oleh pembekal tempatan
ditinjauankan kilang yang tidak mendapat kelulusan Biro Pengawalan Farmaseutikal
Kebangsaan.

Kata Adnan individu yang memiliki produk ubat-ubatan tidak berdaftar dengan
Kementerian Kesihatan akan didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 jika sabit
kesalahan, bagi perseorangan boleh didenda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau
kedua-duanya manakala bagi syarikat disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda
sehingga RM50,000.

Operasi dari 10.30 malam hingga 12 tengah malam itu disertai 70 anggota
penguat kuasa JKWPKL bertujuan membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak
berdaftar yang dikendalikan oleh bukan profesional.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai agar membeli produk kesihatan dan
ubat-ubatan di premis yang dikendalikan profesional bertauliah seperti farmasi
dan klinik kerana status produk terjamin.– BERNAMA



Tidak ada komentar:

Posting Komentar