Index» » » » » » » Allahyarham Sarjan Rosdi Dapat Pingat PBB

Allahyarham Sarjan Rosdi Dapat Pingat PBB

Jumat, 27 Desember 2013


KUALA LUMPUR – Anggota pasukan Batalion Malaysia 5 (Malbatt 5), Sarjan Rosdi Mohamad Zan, 32, yang maut semasa melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) pada 23 Ogos lalu menerima pingat PBB dan Angkatan Tentera Lebanon.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan media memberitahu, Komander Pasukan UNIFIL, Mejar Jeneral Paolo Serra menganugerahkan Pingat PBB Unifil manakala Wakil Komander Angkatan Tentera Lubnan, Kolonel Said Mourad menganugerahkan Pingat Negara Lebanon kepada Allahyarham.

“Upacara penghormatan terakhir jenazah dilaksanakan di Helipad Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri dan berlangsung dengan penuh kehormatan di sini pada 26 Ogos 2013. Kedua-dua pingat disematkan pada bendera PBB yang menyelimuti keranda Allahyarham serta diberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan, jenazah Allahyarham Rosdi dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.30 petang ini dan akan disembahyangkan di Masjid Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 3.30 petang ini.

Tambah kenyataan itu, jenazah anggota tentera Malaysia itu kemudian akan diterbangkan ke Ipoh, Perak dari Pangkalan TUDM Subang dengan menggunakan pesawat C130.

Media pada 24 Ogos lalu melaporkan seorang anggota Malbatt 5 maut manakala dua rakannya cedera selepas terbabit dalam kemalangan ketika melaksanakan misi Unifil.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia) ketika konvoi ‘Force Protection’(FP) melibatkan 41 anggota bersama lapan kenderaan tentera bergerak dari Kem Kawkaba ke Kem Tibnin.

Allahyarham Rosdi dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, 26, dan Lans Koperal Nur Syahied Taib, 26, cedera.

Beliau yang berasal dari Jerantut, Pahang meninggalkan seorang balu, Aliza Ariffin serta tiga orang anak berusia 8, 6 dan 3 tahun.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dipetik berkata, kejadian berlaku apabila Kembalik yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbalik ke dalam gaung sedalam 15 meter bersama kenderaan perisai yang ditunda.







Tidak ada komentar:

Posting Komentar